Friday, February 4, 2011

Menyelusuri Lewat Doa Pak

Assalamualaikum wrm bkth, terlebih dulu Di sekeluarga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua abang kakak dan adik-adik serta mak,pak dan pak andak kerana sudi hadir kerumah Di bagi menjayakan program “Liqa’i Ukhuwwah” dalam usaha merapatkan persaudaraan yang sedia terjalin dalam satu ikatan kekeluargaan yang bahagia “Usratus Sakinah”.

Alhamdulillah sama-sama kita lahirkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana menganugerahkan kepada kita satu rasaan “syu’ur” yang wajar kita bajai dengan baik agar ianya tidak diganggugugat dengan anasir yang memungkinkan terjadinya sesuatu yang tak diingini. Penyatuan fikrah “Wehdatul Fikr” yang ada pada kita bersama seharusnya ditunjangi dengan firman dan sabda yang sahih dan jelas.

Abang,kakak dan adik.

Terpanggil buat diri ini untuk menitipkan satu kenangan lampau yang rasanya masih segar diingatan kita, selepas ibu tersayang dijemput oleh Pencipta untuk berada disisiNya (semoga roh ibu sentiasa dirahmti Allah). Kita semua sekeluarga berkumpul di rumah Mizi Taman Bistari. Pak membaca satu doa yang agak panjang seusai solat isya’ (kalau tak salah) yang diimamkan oleh abang Halim. Dalam solat itu abang Halim membaca surah an Nur.pada salah satu rakaat sesudah al fatihah.

Mafhum daripada surah an nur itu sangat cantik, terlalu amat sesuai sebagai satu ingatan yang datang dari Allah untuk kita semua. Sementelahan pula kita baru diuji dengan satu ujian buat menilai tahap iman serta sejauh mana penerimaan kita dengan ujian tersebut.Satu respon ringkas yang dapat Di ingat abang Lil kata “ayat yang abang Halim baca tu kena sangat dengan keadaan kita la ni…”.

Seperkara yang menjadi asas kepada ingatan ini ialah doa yang dibaca oleh pak … Doa itu Di bacakan untuk sama-sama kita aminkan dalam perjumpaan kita semalam…Doa yang dikutip dari Firman Allah dalam surah an Naml (ayat 19) dan surah al Ahqaf (ayat 15).Di dahului dengan surah al Fatihah serta diulang-ulang sebanyak (sepatutnya 7 kali).Syahdu suara pak ketika membaca doa tu.. mampu menitiskan air mata… terharu… sedih … dan… pengharapan…Harapan yang hakikatnya telah diajar oleh Maha Pencipta buat sesiapa saja yang sanggup menjadi hamba Nya..

Abang,kakak dan adik…

Di cuba mencari mafhum dan asbab nuzul dari ayat yang di baca sebagai doa tersebut.Sebelum itu izinkan Di mencuri sedikit masa kalian untuk terus membaca tazkirah ini sebagai renungan bersama… Intipati yang diperolehi ialah :

Surah An Naml ayat 19 (ayatnya sila rujuk al quran) maksud ayatnya ialah…” Lalu Sulaiman tersenyum ketawa mendengar perkataannya, dan berkata:”Wahai tuhanku! Sedarkanlah hatiku untuk mensyukuri nikmatMu yang Engkau telah kurniakan kepada ku dan kepada kedua ibu bapa ku supaya aku mengerjakan amalan yang baik-baik yang Engkau redhai dan masukkanlah aku dengan berkat rahmat Mu bersama hamba-hambaMu yang baik-baik.”

Huraiannya:

Ayat ini mengisahkan bagaimana Nabi Sulaiman as satu hari, ketika dalam perjalanan menuju ke Yaman dari Istokhar ( setengah riwayat mengatakan di Thoif dan setengah riwayat mengatakan di Sham) bersama bala tenteranya. Mereka melalui satu kawasan yang didiami oleh sekumpulan semut. Allah telah menganugerahkan satu keistimewaan kepada binatang yang bernama semut ini ialah mempunyai satu pancaindera yang kuat dengan kehalusan perasaan dan siasat mengatur diri.(Ahmad Sonhadji Mohamad;Tafsir al quran Juz 19 ms 210)

Maka terhidu ratu semut akan kedatangan tentera Nabi Sulaiman as dalam jarak perjalanan sejauh 3 batu .Lalu ratu semut dengan pantas mengarahkan seluruh rakyatnya agar segera masuk ke dalam lubang untuk menyelamatkan diri dari dipijak oleh tentera nabi Sulaiman.Menurut tafsir al Qurtubi bahawa Abu Ishak dan at Tha’labi membaca dari sebahagian kitab menyatakan : Nabi Sulaiman berkata kepada semut : “tidakkah engkau tahu aku seorang nabi yang adil? Mengapa engkau katakan (supaya jangan dipijak-pijak oleh Sulaiman dan tenteranya?)” Ratu semut itu menjawab “ Tidakkah tuanku mendengar saya mengatakan (sedang mereka itu tidak sedar) pada hal saya tidak maksudkan membinasakan nyawa. Tetapi saya maksudkan membinasakan hati, kerana takut rakyat saya nanti mengharap-harapkan kurnia seperti yang dikurniakan kepada tuanku. Lalu terfitnah dengan kemewahan dunia asyik memerhati dan memandang kepada kebesaran kerajaan tuanku dan melengahkan mereka dari bertasbih dan juga berzikir”.

Dengan terjadinya peristiwa ini,setelah nabi Sulaiman mendengar kata-kata ratu semut itu maka Nabi Sulaiman as pantas memuji Allah swt dengan kurniaan yang amat menakjubkan itu dengan berdoa “ Wahai tuhanku sedarkanlah hatiku” yakni “ berikanlah saya ilham serta mudahkanlah bagi saya untuk mensyukuri nikmat yang Engkau kurniakan kepada saya”.Iaitu nikmat yang banyak dan ajaib-ajaib… Juga turut dipohon akan kebaikan nikmat yang diperolehi oleh kedua ibu bapa nabi Sulaiman (Nabi Daud dan Uria ibu nabi Sulaiman) Seterusnya memohon agar di permudahkan bagi mengerjakan amalan yang soleh yang diredhai oleh Allah swt sebagai tanda syukur.

Lantas di penghujung ayat tersebut Nabi Sulaiman memohon agar Ia di masukan ke dalam golongan hambaNya yang soleh dengan rahmat Allah…

Surah al Ahqaf ayat 15 ( ayatnya sila rujuk al quran) maksud ayatnya ialah :”….Wahai tuhanku sedarkan hatiku untuk mensyukuri nikmatMu yang telah Engkau kurniakan kepada ku dan kepada kedua ibu bapa ku dan supaya aku dapat mengerjakan segala amalan kebaikan yang diredhai Mu dan jadikanlah aku orang yang baik (yang berkekalan) terhadap anak cucu ku sesungguhnya aku bertaubat kepada Mu dan sesungguhnya aku daripada golongan orang-orang yang berserah diri.”

Hurainya:

Doa ini hingga akhirnya ditujukan kepada Saidina Abu Bakar as siddiq yang telah memeluk islam.Kemudiannya disusuli oleh ayah dan ibunya anak lelaki dan anak perempuannya seterusnya isteri, cucu dan neneknya. Pendek kata seluruh keluarganya memeluk islam. Lantaran nikmat tauhid yang diterima oleh Abu Bakar inilah maka keluarlah dari hati sanubari saidina Abu Bakar akan rasa syukur yang tidak terhingga atas semua pemberian Allah swt ini.(Tafsir al Quran juzuk 26 ms 40)

Permohonan Saidina Abu Bakar juga terangkum kepada seluruh pekerjaan yang bakal dilakukan nanti termasuk dalam amalan soleh yang diredhai oleh Allah.Selain dari itu juga dipohon agar tertanam dalam jiwanya serta seluruh zuriatnya perangai orang-orang yang soleh.

Akhir permintan Saidina Abu Bakar ialah sesungguhnya aku telah bertaubat kepada Mud an aku termasuk dalam orang-orang yang berserah diri…

Abang,kakak dan adik…

Cantik doa ini.. .. Ianya adalah firman yang jelas maka marilah kita sama- sama renungkan , fahamkan dan AMALKAN……

4 comments:

  1. Setelah beberapa tahun ...aku membaca semula tulisan ku Di blog ni....terasa Hati ini untuk meneruskan penulisan dalam blog yg dibina oleh abg lil.....

    ReplyDelete
  2. Lantas aku hubungi abg lil untuk dapatkan cara aku nak aktif semula blog famili in.... insyaallah aku akan Cuba asah bakat penulisan ku dalam blog ini

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum....
    Alhamdulillah jutaan syukur ke hadrat Ilahi atas kurniaan yang terlalu banyak buat Kita semua terutama ahli pondok
    Hari ini 4.1.2021 Hari Isnin....
    Kami baru dikunjungi yah,non dan anak2...termasuk isteri Thoriq....terima kasih atas kunjungan...doakan kalian diRahmati Allah....

    ReplyDelete
  4. Alhamdulillah....Hari ni nampak abg lil masukan link bekal2u untuk sama2 Kita tengok semula blok yg lama Tak diaktifkan

    ReplyDelete